TIME Iktiraf Desaru Coast Antara 100 Destinasi Terbaik Dunia 2021 - Glam Malaysia

TIME Iktiraf Desaru Coast Antara 100 Destinasi Terbaik Dunia 2021

Destinasi integrasi resort Malaysia, Desaru Coast yang terletak di tenggara negeri Johor Darul Ta’zim dinamakan antara 100 Destinasi Terbaik Dunia 2021 oleh TIME Magazine.

Destinasi integrasi resort terbaharu Malaysia, Desaru Coast yang terletak di perairan tenggara negeri Johor Darul Ta’zim telah diiktiraf sebagai salah satu daripada 100 Destinasi Terbaik Dunia 2021 oleh TIME Magazine. Edisi tahunan ketiga ini telah dirangkumkan oleh barisan koresponden antarabangsa TIME Magazine bersama pakar industri dari seluruh dunia. Selain Desaru Coast, destinasi perlancongan utama seperti Patagonia National Park di Chile, Hokkaido di Jepun, Wadi Dana di Jordan, Marrakesh di Morroco dan Antartica turut tersenarai.

Foto: One&Only Desaru Coast

Desaru Coast adalah satu-satunya destinasi perlancongan di Malaysia yang tersenarai dalam pengiktirafan tahun ini. Menurut TIME, mereka memilih Desaru Coast sebagai ‘beach escape’ yang menawarkan seleksi hotel dan resort antarabangsa, serta lapangan golf juga pelayaran melalui Sedili Wetlands. Turut mencuri perhatian mereka adalah pembukaan terminal feri, Desaru Coast Ferry Terminal yang dapat memberikan pilihan transit buat pengunjung dari negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.

“Kami sangat berbesar hati atas pengiktirafan oleh sebuah syarikat penerbitan tersohor ini dan kami bangga untuk mewakili negeri Johor dan juga Malaysia. Ini merupakan pencapaian yang mengagumkan kerana kami baharu beroperasi selama dua tahun sahaja, dan dalam keadaan yang sangat mencabar untuk industri. Kami tidak sabar untuk meraikan kedatangan pengunjung dari seluruh dunia apabila aktiviti perlancongan dibuka nanti,” menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Desaru Coast Destination Resort, Roslina Arbak.

Foto: One&Only Desaru Coast

Dianugerahkan dengan keindahan pantai sejauh 17 kilometer, Desaru Coast kini menempatkan seleksi hotel dan resort bertaraf dunia yang ultra-mewah. Antaranya, One&Only Desaru Coast yang merupakan yang pertama di benua Asia, Anantara Desaru Coast Resort & Villas, The Westin Desaru Coast Resort dan juga Hard Rock Hotel Desaru Coast. Destinasi perlancongan terbaharu ini menggabungkan tarikan tersendiri dan pengalaman yang menyeronokan, seperti dua lapangan golf bertaraf dunia dan juga taman tema air terbesar di rantau ini.

See also
Mona Allen & Pekin Ibrahim Timang Anak Sulung Pada Hari Merdeka

Senarai penuh Destinasi Terbaik Dunia 2021 oleh TIME boleh disaksikan di sini.

Foto: Desaru Coast & One&Only Desaru Coast

Baca lebih lanjut: Oh là là! Cuba Sajian Klasik Perancis, Sole Meunière Bersama Ili Sulaiman