Selami Majapahit di Resort Mewah, Jumeirah Bali - Glam Malaysia
Selami Majapahit di Resort Mewah, Jumeirah Bali

Selami Majapahit di Resort Mewah, Jumeirah Bali

GLAM mengembara ke pulau romantik, Bali, langsung berkunjung ke resort mewah tepi laut terbaru milik Kumpulan Jumeirah, menjanjikan pemandangan terbaik serta sejarah seni bina yang mengagumkan.

Menggabungkan alam semula jadi yang menakjubkan bersama seni bina menarik yang berbalik kepada sejarah Hindu-Jawa, resort yang diberi nama Jumeirah Bali ini mentafsir semula legenda Bali buat si pengembara moden. Terletak indah di kawasan pantai Uluwatu, lokasi idaman untuk percutian yang menenangkan ini adalah hasil kerjasama Martin Grounds daripada Grounds Kent Architect, yang membangunkan konsep seni bina dan Jean-Michel Gathy daripada Denniston International, seorang perunding reka bentuk dalaman. Manakala taman-taman luas lagi indah yang mengelilingi resort ini adalah hasil ciptaan Late Made Wijaya.

   Selami Majapahit di Resort Mewah, Jumeirah Bali

Martin Grounds memilih naratif reka bentuk yang berlandaskan era keemasan empayar Majapahit, era elit pemerintah Bali, iaitu kerajaan India yang terakhir bertakhta di Indonesia sewaktu pertengahan abad ke-14. Jika diamati, seni bina pada zaman empayar maritim ini memperlihatkan satu ciri yang popular iaitu terletak pada setiap seni bina astakanya. Perincian yang disembunyikan pada dinding megah ini dapat dilihat pada astaka yang digunakan di kamar mandi, astaka bersosial, taman Diraja berteres serta lokasi-lokasi seni bina berciri air yang indah. 

See also
Resort Dan Spa Mewah Di Bali

Bukan itu sahaja, sewaktu era tersebut, elemen dan kesempurnaan pengairan air amat penting. Ini kerana, takungan inilah yang menandakan kebahagiaan serta kemakmuran juga dalam pada masa yang sama, dapat memastikan rakyat Majapahit sentiasa mendapat akses kepada air untuk kegunaan harian. Di Jumeirah Bali, elemen spatial tradisional ini turut digunakan untuk menyerlahkan lagi konsep istana air yang mewah yang meraikan keajaiban serta kehangatan Bali. 

Keindahan Jumeirah Bali

Saat tibanya di resort mewah ini, kami dapat merasakan aura sentuhan asli syurga Bali namun masih terasa suntikan mewah dan keanggunan bersahaja. Setibanya di pintu gerbang, kami disambut dua makhluk mitos bersayap tradisi Majapahit, iaitu perawakan batu Singa Ambara Raja yang menjaga laluan ini. Kerana budaya tempatannya yang cukup utuh dan penuh dengan perlambangan, mereka menganggap pintu gerbang sebagai portal penting yang menghubungkan dunia fizikal dan alam rohani. 

Berkeluasan 11 hektar serta menempatkan 123 vila mewah yang luas, Jumeirah Bali menjanjikan keselesaan optima buat pengunjungnya. Bukan itu sahaja, dengan topografi lata yang diukir secara berperingkat melalui teres berlandskap, membolehkan tetamu menikmati keindahan pulau ini dari aras lobi atas menuruni ke aras piazza dan villa sambil didodoi bunyi lautan yang cukup menenangkan. Sebuah lagi lokasi harus kunjung di resort ini adalah kolam mandi utamanya. Dikenali sebagai Kolam Segaran. Cukup menarik kerana ia memiliki panorama indah menghadap Pantai Dreamland.

See also
Eva Celia dari Jakarta, ‘GIRL-CRUSH’ Baru GLAM!

Setelah menikmati keindahan sekeliling resort mewah ini, kami di bawa terus ke bilik penginapan. Berkeluasan 210 meter kaki persegi, setiap bilik dilengkapi dengan sebuah kolam mandi peribadi, ruang tamu outdoor juga pemandangan tropika. Bukan itu sahaja, dekorasi bilik ini dilengkapi dengan binaan paip pancur mandian di luar serta astaka pedopo berbumbung yang menghadap terus ke ufuk matahari terbenam.

Akasa Gastro Grill

Terletak di puncak Jumeirah Bali, restoran istimewa, AKASA, baru sahaja dilancarkan dan ia adalah salah satu destinasi mesti kunjung, baik buat anda yang menginap di resort ini ataupun tidak. Menjanjikan panorama matahari terbenam terbaik, restoran elegan ini menjemput para tetamunya menikmati menu mewah gabungan rasa Asia dicipta istimewa oleh Chef Joan Achour. Bukan itu sahaja, bagi mengekalkan budaya dan tradisi masyarakat Bali, Chef Joan menyuluh penghormatan dengan menyajikan hidangan berkonsepkan keluarga di mana menu disajikan di atas pinggan besar agar keluarga yang hadir dapat menikmatinya bersama. 

Antara menu yang dihidang adalah seperti sajian seleksi crudo, termasuklah tartare tuna yang dipanggang api bersama lada Timut berserta daging lembu yang dibakar kayu. Untuk membangkitkan lagi selera makan sebelum hidangan utama, pengunjung boleh mencuba menu udang Jimbaran panggang, salad daging lembu Wagyu arang serta tiram segar.

See also
Anna Jobling Pintas Ariana Grande Dalam Senarai 100 Wanita Tercantik 2023

Buat penggemar daging, anda boleh mencuba seleksi seperti ayam yang diperap bersama cili organik, wagyu tenderloin MB 8/9 bersama epal Cina dan truffle, kambing lembut diperap sos yakiniku atau juga stik T-bone dan Tomahawk premium.

Tidak lengkap tanpa pencuci mulut, kami turut disajikan dengan crème brûlée perisa pandan dan dipadu bersama jem kaya buatan sendiri. Chef Joan bijak menggabungkan teknik masakan Perancis bersama bahan-bahan tempatan. Chef Joan yang sebelum ini merupakan chef fi Jumeirah Maldives dan Jumeirah Mina A’Salam di Dubai, juga memiliki pengalaman bertahun di restoran terbaik Eropah termasuk di II Carpaccio berbintang Michelin yang bertempat di Parisian Palace Le Royal Monceau.

 

Pautan Berkaitan: Terapi Jiwa Di Bumi Borneo